Dinar Kelantan

“Sungguh, akan datang pada satu masa (ketika) tiada seorangpun diantara mereka yang tidak memakan riba (harta). Sesiapa sahaja yang (berusaha) tidak memakannya, ia tetap akan terkena debu (riba)-nya”, Hadis Riwayat Ibnu Majah & Abu Daud, Dari Abu Hurairah.

Adakah kita sedang berada di zaman itu? Anda Rasa? Jom Amalkan sunnah Nabi dan mari kita jauhi riba… 😉

——————————————————————————————————————————————-

Apa itu Dinar & Dirham?

Dinar ialah koin yang ditempa dari bahan logam emas dan Dirham pula ialah koin yang ditempa dari bahan logam perak. Perkataan ‘Dinar’ berasal dari perkataan ‘Denarius’ iaitu koin emas matawang Romawi yang digunakan sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW lagi. Perkataan ‘Dirham’ pula berasal dari perkataan ‘Drachma’ iaitu koin matawang perak Parsi.


Sejarah Penggunaan Dinar & Dirham

Sezaman dengan baginda Rasulullah SAW: Koin-koin emas dan perak yang digunakan di seluruh Semenanjung Arab adalah berasal dari Empayar Byzantium dan Empayar Sasanid. Malah koin-koin emas Dinar dan Dirham tersebut terus digunakan selepas kewafatan Baginda Rasulullah SAW pada tahun 632M berterusan semasa pemerintahan Sayyidina Abu Bakar r.a.  sehinggalah kezaman Khalifah Abdul Malik ibnu Marwan (685-705M) tanpa ada koin-koin penempaan khusus oleh kerajaan Islam.

Pada tahun 75H terjadi suatu perselisihan antara Maharaja Byzantium dengan Khalifah Abdul Malik ibnu Marwan r.a. Demi mempertahankan keunggulan Kerajaan Berkhalifah Islam, Baginda telah memerintahkan penempaan koin-koin emas Dinar dan perak Dirham Kerajaan Islam yang pertama.

Ini bermakna bahawa koin-koin emas Dinar dan perak Dirham adalah matawang yang universal tanpa mengira negara yang menempanya. Ianya adalah suatu alat pertukaran yang tidak kenal bangsa dan negara kerana semua menerima dan menggunakannya sebagai suatu alat pertukaran yang utuh dan teguh tanpa memerlukan sokongan dari mana-mana kuasa pemerintahan atau negara.

Nilai Dinar & Dirham


Tahukah anda koin Dinar & Dirham ‘nilainya’ berada pada sukatan berat timbangan logamnya? Ini bermakna bahawa nilai koin-koin ini berada pada zatnya. Berbeza dengan wang-wang kertas dimana nilainya hanya ada pada angka tulisan yang dicetak atas kertas tersebut semata! Ini juga bermakna, koin Dinar & Dirham nilainya ditentukan oleh Allah SWT pada salah satu namaNya yang maha agung-Allah adalah Ar Razak! (Allah SWT Pemberi Rezeki!)

Allah SWT sendirilah yang menentukan banyak manakah emas dan perak mampu digali oleh manusia. Sebaliknya wang-wang kertas, nilainya ditentukan oleh pihak yang berkuasa atau pemerintah! Ini bermakna pihak berkuasa menandingi kuasa Allah SWT dalam memberi rezeki??

Apakah Spesifikasi Atau Piawaian Dinar Dirham?


Piawaian Dinar & Dirham Kelantan adalah dipantau oleh World Islamic Mint (WIM) dan piawaian yang ditetapkan oleh Khalifah Umar Al-Khattab r.a. iaitu:

Setiap keping 1 Dinar ialah keberatan 1 mitqal yang bersamaan dengan 4.25 gram emas berketulenan 22 karat (91.66% emas).

Piawaian ini menetapkan hubungan antara Dinar & Dirham sebagai berat 7 Dinar bersamaan dengan 10 Dirham. Ini bererti 1 Kepingan Dirham ialah 2.975 gram atau (7/10) daripada 1 mithqal emas.

Bukankah Wang-Wang Kertas Hari Ini Sudah Bersandarkan Sejumlah Emas?

Tidak! Tahukah anda bahawa wang-wang kertas dalam edaran diseluruh dunia hari ini tiada apa-apa sandaran kepada emas dan perak sejak tahun 1971 lagi? Sejarah mencatatkan peristiwa ‘pecah amanah’ yang telah dilakukan oleh kerajaan Amerika Syarikat pada perjanjian Brettonwoods 1945 terhadap semua 44 buah negara yang menandatangani perjanjian tersebut.

Sememangnya pada mulanya Amerika Syarikat menjanjikan dan menjamin bahawa setiap Dollar Amerika ada sandaran emas. (USD35/oz emas). Tetapi ini hanyalah tipu-daya mereka memerangkapkan ummah menerima Dollar Amerika sebagai ‘matawang reseb’ (Reserve Currency) menggantikan emas yang disimpan di 44 buah negara tersebut sahaja!

Pada masa tersebut dikatakan ‘Dollar Amerika’ adalah sama seperti simpanan emas’ (Dollar Amerika as good as gold). Setelah semua ahli menerima dan memberikan bai’ah kepada Amerika Syarikat, Negara ini mula mencetak lebih banyak Dollar daripada sandaran emas yang ada! Penipuan ini terbongkar sehingga ada pemimpin-pemimpin negara yang sedar segera meminta emas yang dijamin.

Sejarah  mencatatkan pada masa pemerintahan Presiden Richard Nixon lah iaitu tahun 1971 Amerika Syarikat mengistiharkan bahawa semua matawang kertas sudah tidak perlu bersandarkan pada emas lagi! Semua wang-wang kertas adalah dibebaskan terapung di pasaran matawang semata-mata menjadikan nilainya sesama sendiri tiada harga sedikit pun! inilah penipuan yang paling hebat dalam sejarah kemanusiaan!

Dollar Amerika Sebagai ‘Matawang Reseb Dunia’ Menyapu Bersih Semua Harta Ummah Di Abad Ini


Tahukah anda sebagai ‘matawang reseb dunia’, Amerika Syarikat telah/boleh membeli semua kekayaan dunia hari ini? Ini bermakna kita kononnya menjual kepada mereka hasil mahsul negara kita seperti minyak, kelapa sawit, getah, barang-barang elektronik dan mereka hanya perlu memberikan wang-wang kertas Dollar Amerika yang tiada sebarang nilai sebenar!

Bukan itu sahaja, Umat Islam serta semua Ummah diabad ini telah ditipu sebegitu rupa sehinggakan matawang negara sesama ahli pun tidak laku dalam negara sesama ahli! Ini sebabnya jika kita bawa Ringgit Malaysia ke Arab Saudi  tidak boleh digunakan di Arab Saudi! Begitu juga wang-wang kertas Saudi-Rial tidak laku di Malaysia!

Ini bermakna semua urusan kehidupan diabad ini adalah tercemar! Termasuklah ibadah-ibadah kita turut terjejas! Ibadah haji & Umrah, pembayaran zakat, malah setiap jual beli malah sebuah kehidupan DEENUL ISLAM adalah tercemar dengan penipuan amalan RIBA diabad ini!


Pembelaan ALLAH SWT Dalam Pengistiharan ‘perang’ pada amalan RIBA!


Tahukah anda rahsia pembelaan Allah SWT adalah pada penghapusan amalan riba? Menggunakan matawang Syariah bererti anda bukan sahaja membebaskan diri anda dan keluarga daripada kemurkaan Allah SWT tetapi juga anda adalah terbela daripada cengkaman dakyah inflasi!

Tahukah anda harga seekor ayam dizaman Rasulullah SAW 1400 tahun dahulu ialah 1 Dirham dan hari ini dengan nilai 1 Dirham, RM18 boleh membeli juga seekor ayam? Ini bermakna penggunaan koin-koin Dinar & Dirham adalah kalis inflasi!

Beredarnya koin-koin Dinar & Dirham ditangan rakyat bermakna rakyat adalah terbela daripada tipu helah pihak yang berkuasa diabad ini! Sekaligus adalah pembelaan Allah SWT terhadap umatNya di abad ini!

Kembalikanlah Zaman Penggunaan Dinar & Dirham Serta Berakhirlah Zaman Dharurat!

Jika dulu kita masih boleh berdalih oleh kerana umat Islam sudah tiada kerajaan berkhalifah dan sudah memerintah-maka umat Islam terpaksa mengikut pemerintah yang berkuasa yang menggunakan matawang kertas. Inilah yang dikatakan umat Islam dalam keadaan dharurat!

Allah SWT mengistiharkan PERANG keatas hambaNya sendiri pada amalan riba! Surah Al-Baqarah ayat 278 &279: ‘Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah SWT dan tinggalkan lah sisa-sisa riba jika kamu orang yang beriman, jika kamu tidak melaksanakannya maka Aku dan RasulKu istiharkan PERANG atas kamu…’!

Apakah Dinar & Dirham Melanggar Mana-Mana Undang-Undang Negara Kita?

Tidak. Matawang syariah Dinar dan Dirham hanyalah merupakan bahan alat pertukaran dalam transaksi sahaja. Penggunaan koin-koin Dinar dan Dirham tidak melanggar mana-mana perundangan negara kita kerana ianya bukan matawang paksaan ‘legal tender’ (sah diperlaku). Seumpama anda membuat pertukaran barangan dengan satu barangan yang lain (barter trade) penggunaan koin-koin Dinar & Dirham adalah merupakan suatu pilihan sahaja antara mana-mana cara pembayaran dalam memenuhi suatu  transaksi.

Di dalam Surah An Nisa’ Ayat 29 yang bermaksud ‘Wahai orang-orang yang beriman janganlah kamu saling memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil (tidak benar) kecuali dalam perdagangan yang berlaku atas dasar suka sesama suka diantara kamu’.

Dalam ayat ini, Allah SWT memberikan kebebasan bukan sahaja dalam urusan penjualan/ pembelian tetapi juga kebebasan memilih mana-mana bahan matawang untuk penyelesaian urusan tersebut asalkan kedua-dua belah pihak setuju antara satu sama lain. Ini bermakna bukan sahaja Umat Islam ada pilihan membebaskan diri mereka daripada cengkaman penipuan yang maha dahsyat diabad ini tetapi juga membuka ruang kepada seluruh Ummah diabad ini!

Berminat untuk mendapatkan Dinar dan Dirham Kelantan, hubungi saya melalui email ataupun facebook. Saya akan bawakan anda kepada agen dinar & Dirham. 😮

Untuk mengetahui harga Dinar & Dirham terkini boleh lawati Web ini.

————————————————————————————————————————————————-

Source: Kelantan Golden Trade Sdn. Bhd + ayat sendiri untuk memudahkan lagi pemahaman pembaca 😉

2 Responses to Dinar Kelantan

  1. misshazzi says:

    salam. kat mana bleh beli dinar and dirham ni kat KB? tahu tak?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge