Majalah Pertama

On April 28, 2012, in umum, by wanizwan

Majalah sulung Alumni MRSM Kuala Krai, itulah antara usaha yang dapat kami salurkan kepada guru-guru dan pelajar-pelajar disana. Bermula daripada 2 program besar iaitu Misi pulang ke Gagang ataupun nama lainnya ialah Ultimate Mind Camp dan juga karnival sukan yang telah dianjurkan oleh pihak kami pada tahun 2010, sekali lagi kami kehadapan dengan keluaran awal majalah ini.

Pada tahun 2011, kami tidak dapat mencari masa yang sesuai untuk mengadakan program di MRSM Kuala Krai memandangkan ramai antara kami yang sedang menjalani latihan industri (Praktikal) dan juga cuti kami tidak sama antara satu sama lain. Oleh itu kami telah mengambil inisiatif lain untuk terus menyumbang kepada pihak sekolah tanpa kami perlu untuk mengadakan perjumpaan fizikal. Hasil keluaran yang pertama ini pun kami tidak pernah membuat perjumpaan secara bersemuka. Masing-masing berselerak di pelusuk negara-negara lain. Ada yang berada di UTP, UTM Skudai, UiTM Shah Alam, Unimas, UPM, UIA, dam juga UUM. Tak lupa juga buat mereka yang berada di Russia, Jerman, dan United States.

Continue reading »

Awak Boring? Saya Gering!

On April 10, 2012, in Sembang berisi, by wanizwan

Jika dulu, siang pergi kuliah, malam berehat, Sekarang, siang pergi kuliah, malam masih di library,

Jika dulu, balik kelas pukul 4 petang, sekarang pukul 11 malam masih memegang buku,

Jika dulu, kawan-kawan ajak main futsal, segera berkata ‘YA’, Sekarang, belum sempat kawan ajak bermain,

diri ini sudah keluar rumah untuk berdiskusi,

Jika dulu, sebulan boleh habiskan paling kurang satu buah buku ilmiah, tetapi sekarang masa membaca telah dicuri dengan kesibukan,

Jika dulu, hari minggu boleh bersiar-siar di taman ataupun berjalan-jalan di Sunway Piramid, tetapi sekarang sama ada hari minggu atau hari biasa, ianya sudah seperti tiada beza,

Jika dulu, program-program luar selalu dihadiri, tetapi sekarang, terpaksa membataskannya,

Jika dulu, handphone sentiasa ditekan, bertanyakan khabar kepada papa dan mama serta sahabat handai,

tetapi sekarang, celahan masa itu seakan hilang dicuri!

Sekarang ini, saya seakan diuji dengan kesibukan yang melampau. Namun, apabila mengenangkan kembali sirah Rasulullah membuatkan saya kembali kuat. Bagaimana baginda boleh menjadi seorang suami yang baik, seorang ayah yang penyayang, seorang hamba Allah yang tidak pernah meninggalkan solat jemaah sedangkan ketika itu baginda masih memegang jawatan sebagai ketua negara!

Bagaimana Rasulullah membahagikan masanya?

Bagaimana baginda memanfaatkan masanya?

Bagaimana baginda memastikan setiap tanggungjawab pada hari itu boleh diselesaikan satu persatu?

Oh, Ya Allah. Kurniakanlah keberkatan masa kepadaku. Biar kesibukan ini dapat menjadi saksi amalanku di akhirat nanti. Aku tidak memohon agar dikurangkan bebanan sedia ada. Aku mohon agar tambahkan kekuatan untukku tempuhi semua ini. Ameen.

p/s: Kadang-kala saya pelik dengan mereka yang berkata, “bosannya hari ini.” Seolah-olah tugasnya di dunia ini telah pun selesai!

: Doakan saya agar dapat menempuhi semester akhir ini dengan senang dan tenang. 😉

 

K-Fiqh 2012: Coretan dan Harapan

On February 23, 2012, in pengalaman, by wanizwan

Alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah.

Segala puji bagi Allah tuhan semesta alam.

Bersyukur kepada-Nya, jejak juga kaki saya ke PWTC tempoh hari untuk menghadiri satu konvensyen yang boleh dikira antara yang terbesar di Malaysia ini. ‘Konvensyen Fiqh Ummah 2012‘ mengumpulkan seramai 21 ilmuwan tanah air dan juga antarabangsa untuk sama-sama mendedahkan kepada masyarakat tentang pendekatan sederhana (wasatiyyah) dalam kehidupan seorang muslim dari semua aspek.

Kalau diikutkan sejarahnya,setakat pengetahuan saya , idea ini muncul setelah Dr Zaharuddin Abd Rahman berjumpa dengan gurunya iaitu Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradawi pada bulan Februari 2011 dalam pertemuan ‘Al-Qaradawi  Bersama Sahabat Seperjuangan dan Murid’. Idea itu adalah untuk mengumpulkan tokoh-tokoh ilmuwan tanah air dan memperkenalkan konsep keserdehanaan kepada masyarakat.

Selepas daripada itu, berdasarkan penjelasan dari Dr Zaharuddin (semasa konvensyen berlangsung), mereka akan mengadakan liqa’ atau pertemuan sebulan sekali untuk tujuan itu. Alhamdulillah, saya nampak inilah titik penguat untuk suatu kebangkitan umat Islam di negara kita.

Usrah Ilmuan Syariah & Da’i Malaysia: Kredit to Saifulislam.com


Daripada pertemuan mereka itu, hasilnya KonvensyenFiqh Ummah 2012 telah diadakan.

-Suasana ketika di dalam dewan-

Secara kesuluruhannya, Konvensyen ini telah berjaya membuka mata banyak pihak. Pihak media sendiri tertanya-tanya, bagaimana mungkin konvesyen seperti ini  akan mendapat sambutan dari masyarakat seramai 3000 orang yang hadir dan seramai 1800 orang yang berada dalam waiting list.

Apakah sebab dan musababnya?

Saya suka jawapan daripada Dr Mazlee Malik.

Inilah barisan mereka yang senyap namun inginkan kebenaran dan inginkan demokrasi berlandaskan Al quran & sunah. Masyarakat sudah mula benci dengan politik caci mencaci dan herdik mengherdik.”

Saya kira ianya satu jawapan yang agak bernas daripada beliau memandangkan beliau sememangnya seorang ahli pemikir yang hebat dalam bidang politik di negara kita.

-Kertas kerja dalam bentuk buku-

Dalam konvensyen ini, terdapat 9 Kertas kerja yang dibentangkan:
1)Wasatiyyah Dalam Akidah
2)Wasatiyyah Dalam Dakwah
3)Wasatiyyah Dalam Turath/ Kefahaman Khazanah Ilmu Islam
4)Wasatiyyah Dalam Muamalat Harta
5)Wasatiyyah Dalam Penyucian Jiwa/ Tazkiyatun Nafs
6)Wasatiyyah Dalam Ibadah
7)Wasatiyyah Dalam Kefahaman Teks Al-Qur’an Dan Hadis
8)Wasatiyyah Dalam Siasah/ Politik
9)Wasatiyyah Dalam Gaya Hidup

Pada pemerhatian saya, rata-rata peserta yang hadir ke konvensyen ini adalah dari kalangan mahasiswa/mahasiswi di negara kita. Ianya mungkin satu petanda yang baik memandangkan mereka-mereka inilah yang bakal menjadi golongan pelapis di negara kita pada masa hadapan.

Dan juga dengan terhasilnya konvensyen ini, ia menunjukkan satu mesej yang jelas bahawa sudah semakin ramai rakyat Malaysia yang ingin kembali kepada ajaran agama dan ingin melihat satu kebangkitan yang positif  dalam menegakkan keadilan dan syiar Islam. Ianya mungkin hasil terkena percikan dari apa yang sedang berlaku di negara-negara timur tengah sekarang ini. 😀

Saya berharap agar peserta-peserta konvensyen ini dapat berkongsi ilmu yang diperoleh kepada masyarakat agar ianya dapat dimanfaatkan oleh para pendakwah diluar sana yang tidak dapat mengikuti konvensyen ini.

Semoga pihak iluvislam, Telaga Biru, Zaharuddin.net, dan juga Al-Naqiy  dapat menganjurkan lagi program seperti ini pada masa akan datang.

Sungguh, masyarakat diluar sana sentiasa dahagakannya! 😉