Hikmah Orang Lama

On June 28, 2011, in pengalaman, umum, by wanizwan

-Hikmah orang tua, perlu ada pada semangat orang muda-

Eh orang muda ni, lain betul cara berfikirnya“,

seorang pak cik  menegur saya dengan nada sedikit keras sambil menepuk belakang badan saya dengan tangannya.

Ketika itu saya sedang bersarapan bersama dengan beberapa orang kawan persatuan, sedang melaksanakan training untuk ahli-ahli baru di sebuah Kem di Batang Kali, Selangor. Saya ditegur kerana memaksa (bergurau sebenarnya) seorang kawan perempuan saya menghabiskan semua baki makanan yang ada ketika itu tetapi kawan saya itu menolak kerana katanya memang dia sikit je makan pagi.

Tetapi saya cuba memaksanya, dengan niat hanyalah gurauan semata-mata. Tak sedar pula di sebelah saya waktu makan itu ada seorang pak cik yang juga merangkap pemilik kem tersebut. Terlihat tindakan saya itu pak cik tu terus memarahi saya dengan nada teguran sedikit tegas.

“Kalau kamu suruh dia habiskan tapi dia tak dapat habiskan, kan membazir namanya tu”, pak cik tu bersuara.

“Tapi pak cik kalau dia tak habiskan sapa lagi yang nak habiskan? kan membazir juga namanya tu. sama je la”, saya mengeruhkan lagi keadaan.

“Membazir dengan makanan yang sudah dijamah berbeza dengan membazir dengan makanan yang belum dijamah. Manalah tau ada orang yang lapar nanti, boleh kita berikan kepadanya”, pak cik itu menyambung lagi.

Saya tergamam…

———————————————————————————————————————————

Saya bukan nak bercerita tentang teguran pak cik itu semasa makan pagi, tetapi saya nak bercerita tentang takdir Ilahi yang menentukan pertemuan saya dengannya. Ianya bagaikan satu pertemuan yang cukup indah bagi saya.

Pak cik itu bagi saya sangat unik dan saya dapat rasa yang dia amat berlainan daripada pak cik-pak cik yang lain. Mungkin inilah hikmah yang saya peroleh apabila saya menolak pelawaan kawan saya untuk  mengikuti camping bersama rakan-rakan sekuliah yang lain ke Gunung Ledang kerana tarikhnya bertindan sama.

———————————————————————————————————————————

Awal pagi itu semua orang kecoh di dewan makan.  Azan subuh yang sepatutnya dilaungkan pada jam 5.45 pagi telah pun berkumandang seawal jam 5.35 pagi. Memandangkan pada program itu saya memegang biro Dakwah dan Insaniyyah, semua orang bertanyakan saya tentang waktu solat yang sebenar. Saya pun tergamam lagi, tak dapat menjawab. Terus saya melulu ke surau.

Pak cik, kenapa azan awal. Kan tak masuk waktunya lagi?” saya bertanya kepada pak cik itu sehingga terlupa, first aid yang sepatut menjadi tanggungjawab saya untuk sentiasa membawanya sepanjang program, telah tertinggal di dewan makan.

Dengan nada suara sederhana pak cik itu menjawab,”Antara sunnah Nabi yang hampir dilupakan pada zaman ini ialah lupa melaungkan azan subuh yang pertama. Masa zaman nabi dulu, azan dilaungkan dua kali. Satu sebelum masuk waktu, satu lagi pada waktunya.”

Saya diam tertunduk. Bukan kerana tidak tahu akan perkara itu, tetapi amalan itu saya rasa sudah makin lama, makin lenyap dalam amalan seharian umat Islam di Negara kita. “Kat masjid-masjid pun biasanya azan sekali, inikan pula di kem yang berada di tengah-tengah hutan.“, hati saya berbicara.

Pak cik ni banyak ilmu-nya ni, kena berguru ni“, saya memasang niat, belum lagi menzahirkannya.

———————————————————————————————————————————

Di suatu ketika, ketika para peserta ingin menunaikan solat, maka sayalah antara orang yang bertanggungjawab menguruskan mereka. Ketika itu, pak cik baru saja selesai melaungkan azan maghrib.

“Pak cik, pak cik jadi imam eh, biar saya iqamat.”, saya berkata kepada pak cik itu dengan niat ingin menghormatinya sebagai seorang yang paling tua dalam kalangan kami untuk mengimamkan solat.

“Eh, mana boleh, pak cik dah azan tadi, orang lain la yang kena jadi imam. Awak boleh jadi imam kan, awak la imamnya nanti“, pak cik tu bersuara lagi.

“Takkan boleh eh kalau orang yang azan, juga menjadi imam. Ustaz kat rumah saya ada buat begitu pak cik”

Selepas saya bertanyakan begitu, pak cik tu berkata lagi dengan nada teguran.

“Kebanyakan orang Islam kat negara kita ni, asyik ikut kata-kata ustaz, ikut  kata-kata sheikh. Tapi bicara Ulama’-ulama’ tak nak pula rujuk. kata-kata Imam-Imam (Syafie, Maliki dan lain-lain) tak nak pula ikut. Buat camtu (Mengazan dan Mengimami solat dengan orang yang sama) hukumnya makhruh. Kalau boleh elakkan, kita elakkan. Makhruh itu menghampiri maksiat

Itulah serba sedikit perkara yang terjadi ketika program 3 hari berlangsung. Walaupun hanya sekejap bersama pak cik ini, tetapi terasa seperti banyak perkara yang sudah saya pelajari bersamanya.

———————————————————————————————————————————

Bagi saya, orang-orang muda sekarang ini perlu lebih bergaul dengan golongan-golongan ‘lama’. Sekarang ini kita lihat, kebanyakan golongan muda masa kini hanya berkawan dan bergaul dengan kawan-kawan yang seusia dengan mereka sahaja. Golongan tua pula ramai yang mengisi surau-surau dan masjid-masjid dan membentuk kumpulan-kumpulan tertentu. Seperti kata-kata Ustaz Harizal, surau-surau dan masjid-masjid kini sudah menjadi tempat orang-orang yang sudah pencen.

Tidak ramai yang mengambil peluang untuk belajar Agama (Islam) daripada orang lama. Yang ada pun pabila adanya ceramah-ceramah dan program-program di masjid ataupun surau. Tetapi ianya terhenti setelah program telah pun tamat. Tiada perhubungan lagi selepas itu.

-Gambar Hiasan-

Sebagai seorang pemuda-pemudi Islam, marilah kita sama-sama mencari “Mentor” kita yang boleh menjadi tempat rujukan dan pertanyaan tentang agama. Bagi mereka yang mempunyai ibu dan ayah yang telah pun pakar tentang agama, maka mereka tergolong dalam golongan yang bertuah.

Tetapi bagi mereka yang hidup dalam keadaan amalan agama yang sekular ataupun kurang terdedah pada didikan agama, maka mereka inilah yang perlu berusaha mencari ‘mentor’ untuk menjadi rujukan.

Betullah kata saudara Hilal Asyraf, Hikmah orang tua perlu wujud dalam semangat orang muda. InsyaAllah, saya akan selalu ke kem ini untuk menziarahi dan juga berguru dalam bidang agama  dengan pak cik ini.

“Semoga kita dapat menjadi sahabat dunia Akhirat. Amin.”, Itulah pesanan ringkas yang dihantar oleh pak cik sebelum saya meninggalkan kem itu.

Semoga perhubungan kami akan kekal hingga ke akhir hayat… 😀

Related Posts with Thumbnails
Tagged with:  

6 Responses to Hikmah Orang Lama

  1. ijat says:

    well said 🙂
    ijat recently posted..BERSIH : Pengenalan

  2. ima says:

    umm betul tu pokwe. time ksh utk post ni! =)
    ima recently posted..Komen di facebook yang tak kelihatan…

  3. hamba ilahi says:

    maaf,.,,boleh sya dapatkan contact number pemilik kem rimba tamu?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge