Ukhuwah Itu Mengeratkan

On July 25, 2012, in umum, by wanizwan

“Minta maaf la pak cik, saya kebelakangan ni sangat sibuk pak cik. Lagipun, handset saya hilang, habis nombor telefon hilang. Nombor handset pak cik pun sama hilang”, saya meluahkan segala kerinduan untuk bertemu dengan pak cik Othman.

Kali ini, saya sekali lagi berpeluang untuk bertemu dengan pak cik pemilik Kem Rimba Tamu ini setelah setahun terputus hubungan dek kerana kesibukan saya berada di semester akhir. Ditambah pula saya ditimpa musibah dengan kehilangan handset lebih kurang 2 bulan lepas. Namun saya bernasib baik kerana secara kebetulan, mukhayyam (camping) IKRAM kali ini diadakan di kem pak cik Othman.

Kem pak cik ini memang terkenal dengan harga yang murah jika dibandingkan dengan kem-kem lain. Kata pak cik, dia tak ambil banyak pun untung daripada mereka yang mengadakan program. Niat utamanya ialah berdakwah. Setiap kali program yang diadakan di kem tersebut, pak cik akan cuba mengambil masa paling kurang 5 minit slot untuk memberi tazkirah kepada peserta-peserta dan juga penganjur.

 

“Tak ape la. Jangan kamu pula yang hilang,” pak cik itu menjawab secara berseloroh.

Saya ketawa, terhibur rasanya.

Terubat juga kerinduan akhirnya.

Ini merupakan pertemuan kali ke-3 saya bersama pak cik. Yang pertama semasa mengadakan program persatuan saya tahun lepas dan yang kedua semasa hari BERSIH 2.0, ketika ramai mereka yang menuju ke pusat bandaraya Kuala Lumpur, saya menuju ke kem Rimba Tamu, membantu pak cik mengendalikan program yang sedang berlangsung disana.

Ketika mengikuti pengisian yang dijalankan oleh IKRAM, saya sempat bersembang dan berbual-bual sambil cuba untuk mengutip sebanyak mungkin imu yang dikongsikan oleh pak cik.

 

Tidak banyak berubah kem tersebut.

Cumanya sudah tertegak menara untuk aktiviti ‘Flying Fox’ di hadapan kem.

Dan juga kehadiran beberapa orang ‘penginap tetap’ di kem itu.

“Kamu tengok di belakang kamu tu, yang tu baru masuk Islam 4 bulan lepas. Yang sebelahnya pula dah setahun masuk Islam,” Pak cik menegur saya ketika usai solat sunat qobliyah zuhur.

Saya merenungi mereka berdua yang belum selesai solat sunat. Kedua-dua mereka sudah pun lanjut usia dan datang daripada kaum  tamil. Pak cik mengambil mereka kerana kasihan dengan kehidupan mereka. Salah seorang daripada mereka dihalau keluar oleh anaknya.

Dan yang seorang lagi saya tidak berapa pasti bagaimana pak cik boleh mengambilnya. Yang pastinya dia seorang yang pekak dan kurang upaya. Mungkin juga dibuang keluarga.

Allahurabbi.

“Kentalnya semangat pak cik”, saya berbisik dalam hati.

Pada pertemuan ini, ternyata banyak lagi yang saya belajar daripada pak cik.

“Kualiti umat Islam ini terletak pada solatnya,” terdengar suara pak cik semasa memberi tazkirah.

Pak cik memang menitik beratkan soal solat. Dari permulaan takbir, sehinggalah akhir memberi salam, pak cik akan menegur kesalahan-kesalahan kami ketika solat.

Sungguh, banyak perkara yang saya pelajari daripada pak cik, yang tidak mudah saya pelajari di luar sana.

———————————————————————————————————————————

Program yang berlangsung 3 hari 2 malam itu telah berjaya mengeratkan ukhwah kami. Saya rasa gelas saya amat terisi. Walaupun program boleh dikatakan santai, namun ada beberapa slot yang benar-benar menyentuh hati dan telah membuka pemikiran saya.

Alhamdulillah, saya seperti telah menjumpai jalan yang saya cari. Semoga saya akan terus istiqamah berada di jalan ini walaupun setelah saya bekerja dan juga selepas saya berumah tangga kelak.

“Ya Allah tuhan yang maha membolak-balik kan hati manusia, Janganlah engkau membolak-balikkan hati kami, setelah engkau memberi petunjuk dan hidayah kepada kami, sesungguhnya engkaulah yang maha memberi petunjuk…”

 

Ameen. 😉

Related Posts with Thumbnails
 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge